: WaRkaH WaNiTa :

Followers

Memaparkan catatan dengan label pendididikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pendididikan. Papar semua catatan

Rabu, 30 Disember 2009

Insaniah Perkenal Pengajian Jarak Jauh Kewangan Islam


ALOR SETAR: Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) bakal menjadikan Pusat Penyelidikan Ekonomi Islam (IERC), Universiti Raja Abdul Aziz di Jeddah sebagai pusat praktikal efisien bagi penuntut Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafahnya, bermula Julai tahun depan.


Ini kerana, IERC mempunyai kelengkapan sempurna dalam penyediaan maklumat kewangan Islam seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dan Jepun.

Dekan Kulliyyah Muamalat, Profesor Dr Wan Sulaiman Wan Yusoff, berkata Insaniah yang komited mewujudkan pengajian jarak jauh bagi jurusan Ekonomi, Perbankan dan Kewangan Islam melihat IERC sebagai pusat paling sesuai untuk tujuan itu.
"Dalam majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) di Langkawi, baru-baru ini, Insaniah bersetuju mengikat kontrak perkhidmatan dengan IERC berkenaan pertukaran penuntut yang bakal membuat kajian kursus masing-masing.

"Insaniah juga akan menentukan jumlah penuntut yang layak ke IERC berdasaran keperluan kerja kursus mereka bagi melahirkan graduan yang bermutu dan diiktiraf,” katanya, di sini.
Majlis menandatangani MoU itu dilakukan dengan Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (IRTI) dan Bank Pembangunan Islam (IDB) antara Rektor Insaniah, Datuk Dr Jamil Osman dan Pengarah IRTI-IDB berpusat di Jeddah, Arab Saudi, Dr Bambang PS Brodjonegoro.
Hadir menyaksikan majlis perjanjian pertama kali itu ialah Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Insaniah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Wan Sulaiman, berkata Insaniah juga bercadang untuk mengadakan majlis sidang ekonomi Islam kali kedua juga di Langkawi yang dijadualkan pada sama ada Julai atau September tahun depan bagi memantapkan kerjasama berterusan dengan IRTI-IDB.
"Insaniah juga komited untuk menjadikan sidang ekonomi Islam ini sebagai agenda tahunan sebagai antara cara memperkenalkan universiti di peringkat antarabangsa,” katanya.

SUMBER: http://www.kuin.edu.my

Wujudkan sudut pidato untuk penuntut di IPT: Saifuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi menggalakkan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara mewujudkan satu sudut pidato khas di universiti masing-masing bagi merancakkan aktiviti pengucapan awam dan debat di kalangan penuntut.


Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata IPT bebas untuk memilih format sudut pidato yang dirasakan sesuai, tetapi ia perlu melalui rundingan dan persetujuan antara pelajar dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) terlebih dulu.

Beliau berkata, ia tidak semestinya mengikut acuan seperti “Speaker’s Corner” yang pernah diwujudkan di hadapan perpustakaan Universiti Malaya sekitar tahun 1960-an dan 70-an.
"Yang penting ialah sudut pidato ini sebagai satu platform yang tidak formal bagi penuntut untuk meluahkan pemikiran dan pandangan mereka tentang sesuatu isu," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Pertandingan Pidato Kemerdekaan Antara IPT 2009 di sini, hari ini.

Kategori Bahasa Melayu dimenangi pemidato Universiti Putra Malaysia (UPM), Amirrudin Abd Rahman manakala kategori bahasa Inggeris dimenangi pemidato Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ain Anissa Mohamed, dan masing-masing membawa pulang hadiah RM5,000, piala pusingan serta piala iringan dan sijil penyertaan.

Saifuddin berkata, sudut pidato juga diharap dapat melonjakkan penganjuran dan penyertaan penuntut dalam kegiatan pengucapan awam yang kini berada di tangga paling bawah dalam lapan teras kokurikulum di universiti.
"Teras kokurikulum di universiti ada lapan, satu daripadanya adalah pengucapan awam. Malangnya status pengucapan awam pada hari ini berada di tangga paling bawah dari segi jumlah program yang dianjurkan oleh universiti dan penyertaan penuntut," katanya.

"Kalau sudut pidato ini dibuat sebagai sebagai satu platform akademik, saya yakin ia tidak akan menjadi masalah. Akta Universiti dan Kolej Universiti sudah dipinda, jadi penuntut boleh bercakap soal politik tapi janganlah bercakap atas platform parti dan perlulah sesuai dengan pendekatan ilmiah yang sesuai dengan pengajian," tambahnya.

SUMBER: BERITA HARIAN

Kaedah pengiraan kemasukan ke IPTA kekal

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengekalkan kaedah pengiraan markah merit 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2010/2011.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata ia akan membabitkan kemasukan ke IPTA bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan setaraf.


Beliau berkata, pemberian markah 10 peratus bagi kokurikulum akan ditentukan oleh Kementerian Pelajaran selaku kementerian yang menyelaras penganjuran, pemantauan, penilaian dan pembabitan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.
"Justeru, KPT akan terus menerima markah 10 peratus untuk dipadankan dengan markah akademik sebanyak 90 peratus yang diperoleh daripada agensi peperiksaan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia, Majlis Matrikulasi dan Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi menghasilkan markah merit untuk pemilihan calon ke IPTA.

"Dasar perkongsian data KPT yang diguna pakai dengan agensi peperiksaan terbabit dan KPM juga dapat meningkatkan integriti dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, dilaporkan KPT akan menggunakan sistem pengiraan merit 30 peratus kokurikulum dan 70 peratus akademik dalam usaha memperkasakan kokurikulum di IPTA bagi melahirkan graduan berkualiti.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata ia belum lagi dijadikan dasar kementerian itu dan kini dalam proses mengumpul maklum balas daripada orang ramai.

Selain itu, Radin Umar berkata kementerian juga sudah mengagihkan risalah lengkap ke semua sekolah menengah di seluruh negara mengenai dasar, cara permohonan dan kaedah pengiraan markah merit ke IPTA.

Katanya, pemohon juga digalakkan mendapatkan bimbingan, khidmat nasihat dan panduan jelas daripada guru bimbingan dan kaunseling di sekolah sebelum mengemukakan permohonan ke IPTA bagi sesi akademik 2010/2011.
SUMBER: BERITA HARIAN

Pelantikan pemegang Sarjana Pendidikan sebagai guru bergantung kekosongan

PUTRAJAYA 30 Dis. — Pelantikan lulusan Sarjana Muda Pendidikan daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai guru bergantung kepada pengkhususan yang dipilih serta kekosongan jawatan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata tidak semua graduan bidang itu dapat diterima kerana terdapat juga lepasan daripada institusi pendidikan guru yang telah diberikan latihan mengikut keperluan semasa.


"Masalah sekarang ialah graduan lepasan pendidikan IPTA melebihi penawaran.
Kita kenalah tengok pengkhususan dan opsyen yang dipilih oleh graduan IPTA itu, mungkin bidang yang dipilih graduan itu sudah mencukupi buat masa ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai rungutan lepasan IPTA dalam bidang pendidikan bahawa mereka sukar mendapat pekerjaan sebagai guru.
Mohd Puad berkata pengadu boleh mengemukakan aduan kepada kementerian yang akan membantu mencari jalan penyelesaian.
Terdahulu beliau merasmikan Hari Kualiti dan menyampaikan Anugerah Kualiti peringkat Kementerian Pelajaran. Pada majlis itu Bahagian Buku Teks Kementerian Pelajaran menerima Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran, Kumpulan Meningkat Mutu Kerja Core Jabatan Pelajaran Perak memenangi Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran manakala Anugerah Kualiti Ketua Pengarah Pelajaran dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Alor Star, Kedah.
BERNAMA

Typing Test

Visit the Typing Test and try!

Template by : kendhin x-template.blogspot.com