Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan. Terdapat ribuan spesis tumbuhan di negara ini. Tumbuhan yang pelbagai jenis itu bukan saja bermanfaat untuk dimakan atau dijadikan tempat berteduh malah padanya terdapat 1001 rahsia penawar bagi pelbagai jenis penyakit.
Khasiat tumbuhan sebagai penawar penyakit ini sebenarnya sudah diketahui berkurun lamanya oleh nenek moyang kita. Mereka menjadikan tumbuhan itu sebagai penawar yang sangat berguna bagi pelbagai jenis penyakit. Kerana itu kita dapat lihat nenek moyang kita masih hidup segar biarpun usia mereka sudah mencecah 100 tahun.
BAWANG PUTIH
Bawang putih dari segi saintifiknya dikenali dengan nama Allium sativum dan berasal dari keluarga Amaryllidaceae. Ia adalah sumber rempah ratus yang popular sejak zaman berzaman. Khasiatnya mula dikenal pasti lebih 10,000 tahun lalu. Bawang putih berbau tengit kerana ia mengandungi sejenis minyak dikenali sebagai allicin. Ia juga kaya dengan selulos, vitamin A,B dan zat galian seperti zat kalsium, fosforus dan besi.
Selain digunakan sebagai bahan masakan, bawang putih juga mempunyai banyak khasiat untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Orang-orang Syria mencampurkan bawang putih ke dalam minuman untuk mengubati demam, cirit birit dan menahan sakit semasa bengkak. Ia juga dikatakan berkesan untuk menguruskan badan, menurunkan paras kolestrol dan tekanan darah tinggi dan menambah kepekatan darah.
Kandungan bawang putih bukan sahaja menghasilkan antibodi tetapi membentuk sistem kawalan secara semula jadi untuk membunuh kuman bagi meredakan demam kepialu, disentri (berak darah). Taun dan bengkak kerongkong.
KANGKUNG
Kangkung dari segi saintifiknya dikenali dengan nama Ipomea aquatica Forsk dan berasal dari keluarga Convolvulaceae. Ia adalah sejenis tanaman popular di kalangan masyarakat tempatan. Ia lazat dimakan sama ada digoreng sebagai sayur atau dicelur untuk dibuat ulam.
Kangkung kampung tumbuh liar di sawah padi ataupun di mana-mana kawasan lembab yang berair manakala sejenis lagi kangkung di tanam menggunakan benih di kebun-kebun sayur.
Tanaman ini bernilai tinggi dalam rawatan tradisional khususnya untuk meredakan kesakitan serta mengecutkan bisul. Caranya adalah dengan menggunakan segenggam daun kangkung yang segar dan hijau bersama-sama batangnya kemudian tumbuk sehingga lumat. Campur dengan sedikit garam lalu ditempelkan pada bahagian yang bengkak. Biarkan hingga kering dan anda akan dapati bisul itu kecut dan tidak lagi terasa sakit atau berdenyut-denyut. Ulang beberapa kali lagi hingga bisul sembuh sepenuhnya.
POKOK TURI
Pokok turi dikenali dari segi saintifiknya sebagai sesbania grandiflora pers dan berasal dari keluarga Leguminosae. Ia sejenis sayur kampung yang enak rasanya. Tumbuhan ini juga dikenali sebagai keti di negeri-negeri di bahagian utara seperti di Pulau Pinag, Kedah dan Perlis.
Pokok turi banyak ditemui di kampung-kampung dan tumbuh setinggi lima sehingga 10 meter. Ia mengeluarkan bunga berwarna merah atau putih dan kekacang sepanjang 25-50 sentimeter. Pokok turi bernilai tinggi dari segi perubatan tradisional. Kulit pokoknya ditumbuk halus dan digunakan untuk berkumur bagi merawat penyakit ulser dalam mulut. Kulit pokok turi juga boleh direbus dan airnya diminum untuk mengubati sakit perut dan cirit birit. Ia juga boleh diminum untuk melegakan masalah asid di bahagian perut.
KESUM
Kesum dari segi saintifiknya dikenali dengan nama Polygonum minus huds dan berasal dari keluarga Polygonaceae. Ia mudah ditanam, khususnya di kawasan-kawasan lembap yang berair. Daunnya digunakan sebagai ramuan untuk mengharumkan masakan tempatan seperti laksa dan masak asam pedas.
Selain digunakan di dalam ramuan masakan kesum juga mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ia mujarab untuk mengubati masalah perut tidak hadam dan masalah kelemumur. Untuk melegakan masalah perut tidak hadam. Daun kesum direbus kemudian airnya diminum. Untuk merawat masalah kelemumur pula, daun kesum ditumbuk kemudian diperah. Air perahan itu dicampur dengan sedikit air sebelum digosok kekulit kepala. Biarkan 3-5 minit kemudian bilas dengan air bersih.
BELIMBING BULUH
Belimbing buluh dari segi saintifiknya dikenali dengan nama Averrhoa belimbi linn dan berasal dari keluarga Oxalidaceae. Ia sejenis tumbuhan tempaatn yang ditanam untuk mendapatkan buahnya. Rasanya masam dan banyak digunakan dalam pelbagai masakan seperti sambal belacan, masak lemak dan sebagainya.Belimbing buluh juga mempunyai nilai ubatan yang tinggi. Ia berkesan untuk melicinkan kulit muka, serta mengatasi masalah jerawat. Buahnya diparut kemudian dicampur dengan sedikit garam dan sapu kekulit muka.
Jus buah belimbing buluh berkesan untuk melegakan penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis dan pitam. Ia juga berkeasn untuk melegakan masalah batuk. Caranya adalah dengan merebus buah, daun dan bunga belimbing buluh kemudian airnya diminum setiap pagi dan petang. Bunga belimbing juga mujarab untuk merawat sakit gigi.
KULIT KAYU MANIS
Kulit kayu manis dari segi saintifiknya dikenali dengan nama Cinnamomum zeylanicum dan berasal dari keluarga Lauracea. Ia berfungsi memanas dan mengering, dari itu sesuai diamalkan bagi megubati selesema serta melancarkan pengaliran darah. Ia dikunyah bagi mengeringkan hingus. Amalan membancuh susu yang dicampur dengan sedikit serbuk kulit kayu manis juga berkesan untuk meredakan sakit itu.
Kesannya lebih lembut daripada halia tetapi tindakannya lebih keras. Kedua-dua herba itu seringkali direbus bersama-sama bagi menghasilkan minuman yang melegakan bagi mengatasi masalah lenguh-lenguh badan, terutamanya dibahagian kaki, tangan, lutut dan pinggang berpunca daripada kesejukkan.
Air rebusan kulit kayu manis dan halia juga sesuai diamalkan oleh kaum wanita yang sering mengalami senggugut atau kesakitan dibahagian ari-ari dan kaki. Disamping itu ia juga boleh digunakan untuk berkumur untuk mengubati sakit gusi dan juga menghilangkan masalah pernafasan berbau.
TERUNG BELANDA
Terung belanda dari segi saintifiknya dikenali dengan nama Solanum torvum swartz dan berasal dari keluarga Solanaceaea. Ia adalah sejenis tanaman yang tidak memerlukan penjagaan rapi. Ia biasanya hidup liar dan banyak ditemui di kampung-kampung, di kawasan terbiar dan di kawasan hutan.
Tumbuhan ini juga dikenali dengan nama terung rajah wang. Disesetengah tempat ia disebut terung manggas atau terung pipit putih. Buah terung belanda dimakan untuk menambah selera makan dan menurunkan tekanan darah tinggi. Dari segi perubatan daunnya dipercayai berkesan untuk mengubati masalah pitam dan sengal-sengal tulang.
TERUNG
Terung berasal daripada keluarga Solanae. Ia baik untuk menjaga kesihatan jantung. Ia berkemampuan menurunkan paras kolestrol. Ia juga kaya dengan kalium yang bertindak memulihkan paras natrium. Terung dikisar dan diminum untuk melawaskan kencing. Ia juga bertindak sebagai julab kerana kandungan seratnya yang tinggi Kombinasi antara serat dan terpenes, sejenis bahan antipengoksidaan, dalam terung membantu menghindarkan kesan-kesan hormon yang mengakibatkan beberapa jenis penyakit barah serta mengelakkan kerosakkan berpunca daripada pengoksidaan itu.
Terung baik diamalkan oleh wanita mengandung. Ia membekalkan folate, sejenis vitamin yang menjaga kesihatan janin dalam kandungan. Sayur terung juga digunakan oleh kaum Hindu sebagai ramuan untuk menguatkan tenaga batin. Terung juga sesuai di gunakan untuk memelihara kejernihan kulit muka. Selain itu terung boleh dikisar dan disapu ke kulit muka untuk menghilangkan jeragat.
Penduduk Malaysia seharusnya berbangga kerana dikurniakan hutan tropika yang mempunyai pelbagai jenis tumbuhan dan terdapat 1001 penawar dan manfaat daripadanya. Hutan tidak perlu ditebang dengan sewenangnya kerana di situ mungkin terdapat tumbuhan renek dan akar kayu yang mampu mengubati pelbagai jenis penyakit. Justeru, setiap daripada kita seharusnya menghargai setiap tumbuhan yang ada di sekeliling kita.
Betty Molesworth, Malaysia Nature Handbooks, Longman Malaysia Sdn. Bhd. 1981.
Mastika Bil. 680-685, Utusan Melayu Berhad,1998.
Mastika Bil. Julai-Disember, Utusan Melayu Berhad, 1996.
Wendy Huttan, Tropical Vegetables of Malaysia and Singapore, Periplus Editions, 1996.
SUMBER: DISINI
0 ulasan:
Catat Ulasan